Beri Peluang 1MDB Selesaikan Masalah - Media Shah Alam

Header Ads

Beri Peluang 1MDB Selesaikan Masalah

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR: PAS mahu semua pihak memberi peluang untuk pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijayakan tanpa sebarang campur tangan politik.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan, berkata walaupun berdepan pelbagai kritikan, sekurang-kurangnya pelan itu sedang berjalan bagi mengawal kerosakan yang sudah berlaku.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pelan itu sentiasa ditambahbaik melalui kuasa semak dan imbang dimiliki.

"Inilah cara PAS dan PAS berasa bahawa ia adalah lebih selamat untuk semua, negara dan rakyat. Berterusan menyalahkan pihak lain tidak dapat menyelesaikan masalah. Inilah juga yang ditegaskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasrudin berkata, pendirian PAS dalam isu 1MDB adalah jelas bahawa isu hutang dan aliran wang 1MDB adalah suatu yang mesti disiasat secara telus dan menyeluruh bagi mengenalpasti dan mengesahkan wujud salah laku yang didakwa, sekali gus menghukum individu atau pihak yang disabitkan kesalahan itu.

"Tanpa menafikan pentingnya peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan polis serta Bank Negara Malaysia (BNM), namun mesti diakui juga bahawa badan ini mempunyai keterbatasan bidang kuasa dalam sistem negara kita.

"Dalam masa yang sama, ketegasan kita tidak perlu mengundang campur tangan asing dalam menangani isu ini," katanya.

Katanya, PAS konsisten menggesa dan mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu itu secara bebas dan berwibawa.

"Isu ini sendiri sudah pun menyebabkan kepentingan negara dan rakyat terancam. Usaha bagi menyelamatkan kepentingan terancam ini adalah keutamaan yang mesti didahulukan dan semua pihak mesti terbabit, bukannya mengambil kesempatan bagi meraih kepentingan peribadi atau politik parti masing-masing.

"Hutang 1MDB ini mesti diselesaikan dengan cepat dan wajar. Jika tidak, negara dan rakyat berterusan menanggung beban ini tanpa peduli lagi parti atau pemimpin mana yang sedang berkuasa nanti," katanya.-Berita Harian

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.