Kekasih Penyamun Diberkas - Media Shah Alam

Header Ads

Kekasih Penyamun Diberkas

AYER KEROH: Sindiket samun dikenali Geng Along Mamak yang dikesan bergerak di negeri ini dapat dilumpuhkan susulan penahanan sepasang kekasih bersama 87 barangan curi bernilai RM10,000, dua minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata suspek berusia 24 dan 29 tahun yang disyaki terbabit dalam lima kes samun di Batu Berendam, Ayer Keroh, Cheng, Taman Tasik Utama dan Malim di sini, itu masing-masing ditahan pada 23 dan 25 Julai lalu.

Katanya, penahanan suspek pertama iaitu lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai 13 rekod jenayah lalu berkaitan dadah, membongkar kegiatan jenayah ragut yang didalangi bersama kekasihnya di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin sepanjang Februari hingga Julai lalu.

"Lelaki menganggur itu ditahan ketika menunggang motosikal curi, sebelum membawa kepada tangkapan suspek kedua yang juga teman wanitanya di Alor Gajah.

"Pemeriksaan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine, selain penemuan 87 barangan kes jenayah ragut.

"Ia termasuk dua motosikal, beg tangan wanita, kad pengenalan, lesen memandu, mata wang Korea, telefon bimbit dan kad bank," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Abdul Jalil berkata jenayah ragut dilakukan secara terancang dengan teman wanita suspek berpura-pura bertanyakan kepada mangsa sebelum teman lelakinya meragut mangsa.

Kedua-dua suspek direman sehingga 15 Ogos ini dan polis memburu empat lagi anggota sindiket berkenaan masing-masing dua lelaki dan wanita berusia antara 24 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.