Mahathir cuba keruhkan hubungan PM, TPM - Media Shah Alam

Header Ads

Mahathir cuba keruhkan hubungan PM, TPM

SEGAMAT, 5 Ogos — Tiada siapa mampu mencemarkan hubungan baik antara perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kata anggota majlis tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata walaupun ada pihak tertentu cuba mengeruhkan hubungan mereka, Ahmad Zahid mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan beliau pernah menjadi setiausaha politik kepada Najib satu ketika dahulu malah hubungan mereka adalah seperti sebuah keluarga.

“Sebenarnya apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak benar, jadi tidak timbul isu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bahawa Ahmad Zahid pernah meminta sokongan Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Segamat di Batu Anam yang turut dihadiri oleh anggota Parlimen Segamat juga menteri kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam di sini hari ini.

Ismail Sabri mendakwa isu tersebut sengaja dibuat oleh Dr Mahathir bagi mengelirukan anggota UMNO dan menimbulkan rasa ragu dalam kalangan anggota parti terhadap kesetiaan Ahmad Zahid kepada Najib.

​​​​​​​Beliau berkata Najib secara terbuka telah memberitahu kepada ketua bahagian UMNO bahawa beliau mempunyai seorang timbalan yang sangat setia kepadanya dan ini jelas membuktikan bahawa Najib tidak pernah meragui kepercayaan Ahmad Zahid.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata cadangan untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar masih lagi dalam peringkat kajian dan banyak perkara perlu diperhalusi sebelum cadangan itu diterima kerajaan.

“Orang beranggapan bahawa MRSM yang sedia ada sekarang akan ditukarkan kepada MRSM berbayar sedangkan sebenarnya hanya MRSM yang baharu dibuka adalah berbayar.

Kita tengah kaji lagi dari segi berapa jumlah bayaran yuran akan dikenakan dan juga tenaga pengajar sama ada mengguna guru baharu serta pelbagai perkara yang perlu diperhalusi lagi dan masih terlalu awal untuk membuat keputusan,” katanya.

Katanya perkara itu telah diserahkan kepada pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membuat kajian sebelum ia dibawa ke peringkat kementerian. — Bernama


Read more at http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/mahathir-cuba-keruhkan-hubungan-pm-tpm#OUFLM0o6TJJf1tGI.99

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.