Pelaburan Pokok Kurma Diserbu - Media Shah Alam

Header Ads

Pelaburan Pokok Kurma Diserbu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu ke sebuah syarikat di sini, selepas disyaki menawarkan skim pelaburan penanaman pokok kurma yang tidak didaftarkan.

Serbuan dibuat sepasukan 10 anggota Bahagian Siasatan SSM diketuai Pengarahnya, Rezy Izwan Ramly, kira-kira jam 10.30 pagi tadi, hasil risikan sejak tiga bulan lalu selepas menerima aduan seorang pelabur pada Disember tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kawal Selia dan Penguatkuasaan SSM, Nor Azimah Abdul Aziz, berkata syarikat itu didakwa menjanjikan pulangan tinggi berdasarkan bilangan pokok kurma dilaburkan.

Katanya, setiap pokok bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 dengan penanaman dilakukan di Kelantan, Terengganu dan Johor.

Nor Azimah berkata, segala urusan daripada penanaman, penjagaan sehingga pokok membuahkan hasil dilakukan pihak syarikat manakala hasil tanaman dibeli semula pada harga antara RM 12 hingga RM20 sekilogram berdasarkan kualiti dan saiz buah.

"Pulangan pelaburan dikira berdasarkan berat kurma dihasilkan pokok berkenaan yang mana ia didakwa boleh mencecah RM1juta selepas 10 tahun.

"Kita menerima aduan seorang individu yang mahu mendapatkan kesahihan mengenai tawaran syarikat berkenaan sebelum membuat pelaburan.

"Semakan mendapati syarikat itu mendaftar dengan SSM sebagai sebuah entiti pada 2015 namun tiada skim kepentingan didaftarkan mengikut Akta Skim Kepentingan 2016.

"Justeru, kita membuat siasatan sebelum menjalankan operasi pada hari ini," katanya pada sidang media di pejabat SSM, di sini, hari ini.

Nor Azimah berkata, Akta Skim Kepentingan 2016 yang berkuat kuasa mulai 31 Januari lalu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda RM50 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.Berita Harian

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.