PM serah Jalur Gemilang kepada Kembara Srikandi Prihatin - Media Shah Alam

Header Ads

PM serah Jalur Gemilang kepada Kembara Srikandi Prihatin

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyempurnakan majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada enam peserta Kembara Srikandi Prihatin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Antara peserta kembara berkenaan ialah Pengarah Projek Kembara Srikandi Prihatin, Ummu Farah Haidar Zulkifli; Ahli Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Huda Shamsuddin dan Nir Azmin Adnan serta Wartawan Harian Metro, Fairul Asmaini Mohd Pilus.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Program itu dianjurkan Persatuan Kembara Negara dengan kerjasama Pergerakan Puteri UMNO dan Harian Metro sebagai media rasmi.

Kontinjen terbabit bakal memulakan misi menakluk puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus, Russia, pada 23 Ogos hingga 5 September ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Mas Ermieyati ketika sidang media berkata, misi kembara itu disertai enam wanita terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk seorang bekas pesakit kanser untuk mempromosi gaya hidup sihat melalui aktiviti lasak.

Pada masa sama, ia dijadikan sebagai platform meningkatkan kesedaran anak tempatan sambil mengumpul dana bagi membantu Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Persatuan Kebajikan Barah Payudara serta Rumah Pemulihan dan Perlindungan Darul Wardah.

"Program ini menekankan peranan wanita dalam sesebuah negara selain menjadi sumber inspirasi kepada rakyat bahawa cabaran hidup seperti kanser atau krisis hidup tidak menghalang untuk menyumbang kepada masyarakat serta negara.

"Ia adalah ekspedisi mencabar dan menjadi refleksi semangat juang enam pendaki ini bagi mengharungi cabaran serta menggalas tanggungjawab menjulang nama Malaysia di puncak tertinggi Eropah," katanya.-BERITA HARIAN

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.