SPRM Siasat Ahmad Zahid Jika Ada Asas - Media Shah Alam

Header Ads

SPRM Siasat Ahmad Zahid Jika Ada Asas

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan menyiasat kekayaan seseorang jika dakwaan yang dibuat ke atasnya mempunyai asas di mana pemilikan kekayaan itu bersumberkan unsur rasuah dan salah guna kuasa, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.
Beliau berkata kekayaan atau berapa banyak duit yang dimiliki seseorang bukan suatu asas yang membawa kepada keperluan siasatan daripada suruhanjaya itu.
"Isunya sama ada harta tersebut diperoleh daripada rasuah atau salah guna kuasa...asas itu perlu ada.
"Orang boleh kaya tapi sumbernya yang penting untuk kita lihat kerana kalau sumbernya menjadi rasuah dan salah guna kuasa, barulah menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat," katanya mengulas sama ada SPRM akan menyiasat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan kekayaan yang dimiliki.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di pejabatnya di sini, Khamis.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad mendawa Ahmad Zahid mempunyai kekayaan mencecah RM230 juta yang dimilikinya ketika memegang jawatan Ketua Pemuda Umno dan kenyataan itu telah disusuli dengan laporan polis oleh DAP.
Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata kenyataan itu bukan asas yang boleh membawa kepada siasatan apatah lagi pihak yang mendakwa juga mengakui tidak mempunyai bukti atas apa yang diperkatakannya.-- Bernama


Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.