Sultan Terengganu penaung Majlis Petroleum Terengganu - Media Shah Alam

Header Ads

Sultan Terengganu penaung Majlis Petroleum Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima pelantikan baginda sebagai penaung Majlis Petroleum Terengganu (TPC).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata TPC adalah entiti baharu yang akan bertindak sebagai platform bagi kerajaan negeri untuk merencana, menyelaras dan memantau urusan berkaitan dengan industri minyak dan gas.

Katanya, pelantikan Sultan Mizan sebagai penaung TPC diputuskan oleh mesyuarat ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) yang bersidang Rabu lalu.

"TPC turut diberi mandat mengkaji dan mengenal pasti potensi manfaat untuk rakyat dan kerajaan negeri di sepanjang nilai rantaian industri minyak dan gas.

"Jawatankuasa TPC yang dipengerusikan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan negeri akan mengkaji kelestarian sumber minyak dan gas dalam usaha kerajaan untuk memaksimumkan hayat sumbangan sektor itu secara berterusan kepada pendapatan hasil negeri," katanya ketika ditemui selepas pengumuman penubuhan TPC, di sini, petang ini.

Ahmad Razif berkata, TPC juga akan memainkan peranan memberi keutamaan kepada usaha merancakkan pembabitan anak tempatan terutama bekas graduan dalam bidang industri minyak dan gas.

"Penubuhan TPC bukan bertujuan untuk mengambil alih peranan PETRONAS, sebaliknya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan projek oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang terbabit dalam industri berkenaan," katanya.-BERITA HARIAN

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.