UMNO Bukan Milik Najib - Media Shah Alam

Header Ads

UMNO Bukan Milik Najib

Admin:Mohamad/Email:mediashahalam@gmail.com

MASJID TANAH: Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah memansuhkan sistem kuota dan undi bonus sejurus dilantik sebagai Presiden UMNO membuktikan parti itu bukan milik mutlak mana-mana pemimpin.

Presiden UMNO itu berkata, parti berkenaan kini lebih terbuka, berbanding era pemimpin terdahulu yang mengunci kepemimpinan tertinggi dengan melaksanakan sistem kuota dan undi bonus.

"Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) kata dia tidak sokong UMNO sebab UMNO ini milik Najib. Bila masa tuan-tuan?.

"Tun M jadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO bukan sebab dia popular (tetapi) kerana sistem undi ini. Masa zaman Tun M ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), siapa yang diktator sebenarnya?

"Seramai 165,000 ahli UMNO yang mengundi (pada pemilihan parti 2013) tidak boleh dibeli tuan-tuan, mereka ikut kehendak sendiri. Saya menang tanpa bertanding, maknanya UMNO menyokong saya secara terbuka," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Durian Daun di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mengulas pemilihan UMNO 1987, Perdana Menteri menegaskan berpegang pada prinsip wala' iaitu setia kepada Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO pada waktu itu.

"Saya ketepikan hubungan peribadi (keluarga) dengan Tengku Razaleigh Hamzah dengan menyokong Tun M yang menyaksikan beliau menang 43 undi mempertahankan jawatan Presiden UMNO," katanya.

Najib berkata, dalam parti perlu ada semangat setia kawan dalam perjuangan yang mengikut teori politik kuasa formal (hubungan struktur) dan kuasa tidak formal (hubungan peribadi).

"Bila ada cubaan untuk menggoncang keyakinan saya dengan Datuk Seri Zahid Hamidi, kononnya dia ada merancang sesuatu, saya nak jelaskan saya mempunyai keyakinan yang tidak boleh dipertikaikan sesiapa.

"Bukan sehari dua saya kenal Datuk Seri Zahid, kenal bukan kerana hubungan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tetapi hubungan peribadi yang berputik sejak 1986 hingga sekarang," katanya.

Berita Terkini

    Tiada ulasan

    Dikuasakan oleh Blogger.